Search
Close this search box.

Mein Kampf – Perjuanganku

Mein Kampf. Buku yang dihasilkan ketika penulisnya masih berada di dalam penjara. Atas sebab cubaan untuk merampas kuasa di Jerman Selatan pada tahun 1923. Jerman pada ketika itu dikenali sebagai Republik Weimar, sebuah kerajaan Jerman pasca Revolusi 1918-1919. Namun, Republik Weimar juga menyaksikan isu kemelesetan ekonomi, pengumpulan hutang yang semakin meningkat serta kehilangan banyak tanah jajahan pasca Perang Dunia Pertama dan ini menyebabkan ego dan kebanggaan Jerman terluka. Mana tidaknya, Jerman pernah suatu ketika dulu dengan gah mendirikan empayar kuat di Eropah , empayar Prussia yang merangkumi kawasan yang sekarang ini negara Belgium sehinggalah ke Poland.

Ditambah dengan kesusahan hidup serta keadaan di mana harga roti dan susu meningkat lebih dari yang mampu dibeli oleh rakyat, menjadikan Jerman pada waktu itu seperti tudung periuk nasi mendidih yang hanya menanti untuk meledak. Tidak cukup dengan itu, sentimen anti-semitik, iaitu kebencian terhadap orang Jerman yang beretnik dan beragama Yahudi semakin berleluasa, walaupun komuniti ini sudah berada bersama Jerman sejak ratusan tahun. Masa ini juga menyaksikan pelbagai gerakan politik yang berusaha melontarkan idea-idea mereka sebagai solusi kepada krisis ekonomi, antaranya gerakan Marxisme dan Komunis.

Dalam konteks suasana beginilah penulis Mein Kampf menghasilkan magnum opusnya. Penulisnya merupakan seorang watak sejarah yang amat terkenal, iaitu Adolf Hitler. Niat asalnya untuk menghasilkan sebuah buku yang mana hasil jualannya digunakan untuk membiayai yuran guaman, tetapi Hitler sendiri tidak sangka, buku setebal 700 muka surat yang terbahagi kepada dua jilid mendapat sambutan yang memberansangkan oleh rakyat Jerman.

Hitler merupakan ahli Parti Nasional Sosialis (disingkatkan menjadi Nazi) yang amat berpengaruh sehingga dapat membawa kemenangan kepada Parti Nazi untuk mengalahkan sekaligus menguburkan Republik Weimar. Jangan terpedaya dengan perkataan sosialis dalam parti Nazi. Nazi dan Hitler merupakan seorang yang anti kepada Marxisme dan Komunisme.

Beberapa tahun selepas Mein Kampf dikeluarkan, Hitler yang semakin popular memenangi pilihan raya di Jerman dan akhirnya dilantik menjadi Canselor, jawatan politik tertinggi di Jerman. Dan Mein Kampf pada pemerintahan Hitler diberikan secara percuma kepada setiap pasangan pengantin baru dan setiap askar-askar di fron perang. Jutaan rakyat Jerman membaca Mein Kampf. Tidak hanya terhad kepada penulisan, Hitler juga melontarkan idea-ideanya melalui syarahan berapi yang disebarkan di seluruh pelosok Jerman melalui radio. Antara gambar Perang Dunia Kedua yang amat ikonik; lebih kurang sedozen pemuda Jerman duduk mengerumuni sebuah radio yang sedang menyiarkan syarahan Hitler. Beratus ribu rakyat Jerman turun untuk mendengar syarahan Hitler secara langsung di kota-kota Jerman. Kerana Hitler adalah seorang orator hebat. Kata-katanya memukau, menyuntik semangat baru kepada warga Jerman yang sudah letih hidup tertindas oleh hutang negara.

Mein Kampf memang merupakan antara buku yang paling kontroversi di dunia, sehingga Jerman pasca Perang Dunia Kedua telah mengharamkan penjualan Mein Kampf. Hanya tahun ini, 2016, setelah hak cipta asal buku tersebut tamat tempoh, barulah ia mula kembali berada di pasaran buku di Jerman.

Tamatnya tempoh hak cipta Mein Kampf telah membawa rakyat Jerman melawat masa silam mereka dan kembali mempersoalkan apakah ianya sesuai untuk menjual buku ini sekarang?Media Jerman dipenuhi dengan diskusi dan debat mempersoalkan kewajaran untuk mengeluarkan kembali Mein Kampf. Jerman akhirnya mengambil langkah untuk menghasilkan edisi baru, tetapi kali ini ditemani anotasi kritis.

Sekilas pandang, Mein Kampf hanyalah seperti buku manifesto politik yang lain. Ianya merupakan usaha seorang pemuda yang merasakan negaranya sudah amat jauh dari kapasiti sebenarnya. Dia merasakan dia punyai idea yang baik yang wajib disebarkan untuk membangunkan kembali gergasi yang bernama Jerman ini. Malangnya, Hitler bukanlah seorang yang kritis. Hitler termakan dengan sentimen anti Yahudi yang amat berleluasa di Eropah pada ketika itu dan juga idea superioriti bangsa Aryan ke atas bangsa-bangsa lain.

Antara idea-idea yang dipelopori Hitler dalam buku ini merupakan politik nasionalis, menyeru kepada penyatuan semula bangsa-bangsa Jerman untuk kembali membangunkan sebuah negara besar Jerman. Hitler menyuarakan idea penghapusan bangsa selain dari Jerman pada awalnya adalah didalam buku ini, dimana, untuk membawa agenda penyatuan nasional, Jerman perlulah membuang unsur-unsur yang meracuni masyarakat Jerman. Walaupun tidak dinyatakan secara terang, namun dari syarahan-syarahan Hitler, tahulah orang ramai bahawa “racun” ini tidak lain tidak bukan adalah mereka yang bukan ber-etnik Aryan (iaitu mereka yang terdiri dari bangsa Yahudi, kaum Gipsi dan kaum Roma) serta mereka yang menentang projek Kesatuan Jerman ( revolusioner Komunis dan Marxisme, dan pembangkang kepada Nazi). Buku ini juga menyuarakan impian Hitler untuk memperluaskan jajahan Jerman ke kawasan lain, termasuklah ke Timur.

Republik Weimar pada zaman sebelum pemerintahan Nazi merupakan sebuah republik yang berpandangan terbuka dan menggalakkan toleransi. Pada masa inilah Jerman menyaksikan ramai masyarakat antarabangsa yang datang dan menyumbang kepada percambahan budaya. Mereka datang sebagai diplomat, ahli perniagaan dan terutama sekali para pelajar. Ramai warga Jerman dari komuniti Yahudi menjadi penyumbang kepada kemajuan Jerman, terutama sekali dalam dunia akademik. Dan pada ketika inilah juga masyarakat Islam ,terutamanya dari India datang dan menetap di Jerman sekaligus memulakan sejarah awal komuniti Islam di Jerman. Keterbukaan Republik Weimar pada ketika itu terbukti apabila pada tahun 1925, pertama kali dalam sejarah Jerman, sebuah masjid yang mengambil insipirasi senibina Taj Mahal dibina di Berlin. Masjid ini juga menyaksikan beberapa intelektual dan bangsawan Jerman memeluk Islam, termasuklah beberapa intelektual Yahudi, paling terkenal antara mereka adalah Leopold Weiss ataupun Muhamad Asad, seorang tokoh ilmuwan Islam yang sezaman dengan Muhammad Iqbal.

Namun, Jerman dibawah Nazi menghapuskan sifat keterbukaan dan toleransi ini. Masyarakat antarabangsa termasuklah orang Islam yang berasal dari India lari meninggalkan Jerman , kerana jika tidak, sudah pasti dipenjara, kerana mereka ini diklasifikasikan sebagai elemen musuh (disebabkan India merupakan jajahan British, dan British pada ketika ini merupakan musuh kepada Jerman). Masyarakat Yahudi merupakan antara mereka-mereka yang menjadi sasaran. Seperti yang disebutkan sebelumnya, keadaan ekonomi Jerman tidak stabil pada ketika itu. Ditambah lagi dengan wujudnya konspirasi seperti buku Protocols of Elders of Zion yang mengatakan orang Yahudi mahu menguasai Eropah dan kemudiannya dunia. Buku ini sudah dibuktikan sebagai palsu pada tahun 1921, namun ini tidak menghalang Nazi dibawah telunjuk Hitler, serta jutaan rakyat Jerman yang lain menganggap orang Yahudilah antara sebab ekonomi mereka merudum. Orang Yahudi menjadi kambing hitam kepada masalah ekonomi yang antaranya efek daripada Perang Dunia Pertama. Golongan Marxisme dan Komunis juga dikatakan dibawah telunjuk kuasa Yahudi, maka mereka juga menjadi mangsa kepada kuasa Nazi.

Holokaus. Sebuah titik hitam dalam sejarah dunia. Jutaan manusia, secara berperingkat dari tahun 1941 hingga 1945 dikumpul dan diusir masuk kedalam keretapi yang membawa mereka ke sebuah tempat dimana mereka kemudiannya ditembak mati oleh askar-askar SS (askar Nazi). Namun, setelah golongan manusia yang mempunyai kuasa menyedari bahawa ada cara lain untuk membunuh sekumpulan manusia dengan lebih ekonomi dan lebih mudah, mulalah keretapi-keretapi ini membawa kumpulan manusia tertindas ke kem-kem konsentrasi. Turunnya sahaja mereka dari keretapi, mereka dibahagi kepada dua kumpulan. Kumpulan yang bernasib baik akan tinggal dan duduk untuk sementara waktu di kem tersebut , menjadi buruh paksa. Kumpulan yang kurang bernasib baik dibawa terus ke ruang gas, yang direka seperti bilik mandi . Cuma paip air di bilik mandi ini bukan memuntahkan air, tapi gas beracun. Kumpulan pertama yang terselamat juga akhirnya akan berakhir di bilik gas ini.

Inilah dia, kebijaksanaan makhluk bergelar manusia! Tidak perlu membuang jutaan peluru yang pada masa yang sama diperlukan di medan perang. Saintis berjaya mereka kaedah untuk mati beramai-ramai dengan efisien, cepat, dan tidak menumpahkan darah.

Menyedari akan hal ini, muncul sebuah persoalan, apakah sebuah buku terpenting ideologi Nazi yang mendorong kepada kekejaman Holokaus wajar lagi dibaca pada zaman sekarang? Sudah tentu ianya masih wajar.

Salah satu persoalan rumit yang berkaitan dengan Nazi adalah bagaimana Holokaus boleh berlaku? Bagaimana sebuah negara bangsa yang mempunyai tradisi intelektual yang tinggi seperti Jerman boleh membenarkan ianya berlaku? Bangsa Jerman yang memberikan dunia Albert Einstein, Immanuel Kant, Karl Marx, Sigmund Freud (Einstein, seorang Yahudi terpaksa melarikan diri ke Amerika Syarikat) juga sekarang menghasilkan Adolf Hitler, Joseph Goebbels, Heinrich Himmler.

Dan ianya memang fakta, universiti-universiti Jerman yang hebat turut menjadi tempat idea-idea Nazi diperluaskan. Kaedah-kaedah bilik gas di kem konsentrasi difikirkan oleh saintis-saintis Jerman yang pintar. Mereka yang mengendali penghapusan etnik secara sistemik ini bukanlah mereka yang tolol, tetapi mereka-mereka yang mempunyai pendidikan tinggi seperti jurutera, doktor, saintis, peguam dan ahli sastera. Malahan, Nazi mempunyai ahli-ahli falsafah yang memberikan lagi justifikasi untuk tindakan kejam Nazi.

Mein Kampf merupakan sebuah peringatan kepada umat manusia , apa yang akan terjadi jika emosi dan sentimen mengawal akal rasional dan suara hati. Mustahil tiada yang menentang Nazi di Jerman. Dan fakta sejarah menunjukkan memang ada dalam kalangan warga Jerman sendiri yang menentang, tetapi malangnya, resistance ini tidak berjaya dan secara kecil-kecilan. Holokaus dan Adolf Hitler, walaupun tempat jadinya ia amat jauh dari kita di Malaysia, namun tetap relevan untuk dipelajari disini. Rantau kita juga punyai ‘Holokaus’ nya sendiri. Hanya beberapa dekad lalu, di Kemboja, ratusan ribu warga Kemboja dikumpul di kem konsentrasi, dan dipenggal, bayi dihentak ke batu hidup-hidup oleh tentera Khmer. Konflik Rohingya di Burma, juga terhasil daripada sentimen yang pada dasarnya adalah rasisme.

Dan Malaysia juga tidak lekang dari sentimen rasisme.

Mein Kampf terhasil apabila Adolf Hitler ingin menyelesaikan masalah bangsanya yang sedang tenat. Dan niat asal ini sudah tentu amat murni, membangunkan semula tanah air. Namun malangnya, Hitler mempunyai idea yang amat terhad mengenai kegemilangan Jerman. Dan idea yang tidak disiasat dan diterima bulat-bulat ini akhirnya menyaksikan kegemilangan manusia dalam aspek lain; iaitu cubaan melupuskan sesuatu kaum dengan amat sistemik sekali.

Perkataan Mein Kampf jika diterjemahkan kepada Bahasa Melayu bermaksud Perjuanganku. Perjuangan Hitler untuk mengembalikan Jerman kepada persada dunia telah tercapai pada zaman moden kini, namun bukan dengan cara yang digariskan oleh Hitler dalam bukunya. Tetapi dengan melakukan sebaliknya. Dengan mengalu-alukan perbezaan.

Jadi, bacalah buku ini dengan kaca mata yang kritis dan jangan terkejut, idea-idea Hitler masih lagi wujud dan diulang oleh ahli-ahli politik zaman kini, baik di Malaysia, Jerman atau negara-negara lain. Antaranya, kita dapat dengar elemen-elemen sama di dalam Mein Kampf dalam syarahan seorang ahli politik yang suka menyalahkan golongan lain untuk sesuatu permasalahan. Menariknya, Holokaus dipanggil sebagai Shoah oleh orang Yahudi. Shoah membawa maksud malapetaka. Atau dalam Bahasa Arab ianya sama dengan perkataan Nakba. Agak ironi disitu, Jika anda tahu apa itu Hari Nakba).

Maka, menjadi tugas untuk kita menghalang dan mengelakkan berlakunya lagi holokaus, tidak kiralah dimana ianya berlaku dan keatas golongan yang mana.

Tulisan ini diambil daripada Pengenalan buku Mein Kampf (edisi Bahasa Melayu) terbitan Thukul Cetak pada tahun 2016.

Lain Yang Menarik

Buku Liar

Kalau DuBook Dah Tak Buat Buku, DuBook Buat Apa?

Nintendo sebelum buat konsol game merupakan pengeluar Hanafuda Card, kad yang digunakan oleh para Yakuza untuk berjudi. Peugeot (cara sebut, puh zhow) ubah Kilang Tepung