Search
Close this search box.

Dewa Narcissus dan Kecelaruan Personaliti Narsisistik

Narsisisme (Inggerisnya Narcissism) adalah satu kata ambilan dalam riwayat mitos Greek purba di mana Narcissus, seorang belia yang tampan yang digilai oleh Echo, satu bidadari (nymph). Cinta Echo ditolak Narcissus mentah-mentah. Akibatnya Narcissus disumpah dan beliau terpesona dengan wajahnya sendiri yang direfleksi dari kolam air. Kekaguman dengan imej sendiri menyebabkan Narcissus mati kelemasan akhirnya (Hamilton 1942). Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, narsisisme adalah suatu penyakit jiwa yang menyebabkan seseorang itu memuja dirinya sendiri dan memberi perhatian yang berlebihan terhadap kesempurnaan dirinya. Individu yang memiliki sifat ini dikatakan sebagai seorang yang narsisistik.

Dalam bidang perubatan psikiatri, personaliti narsisistik boleh menjadi suatu bentuk penyakit atau kecelaruan yang parah. Mengikut kitab rujukan pendeta-pendeta psikiatri, DSM-V, kecelaruan personaliti narsisistik (Narcissistic Personality Disorder) ialah corak personaliti yang bermula sejak remaja, berpaksikan tema yang berlebihan bahawa diri itu sangat istimewa dengan ciri-ciri sentiasa mahu pujian atau rasa hormat dari orang lain dan kurang menyelami perasaan orang lain. Dalam jangka panjang, corak ini menyebabkan kefungsian yang merudum dalam aspek pekerjaan, peribadi atau hubungan sosial. Urusan diagnosis penyakit personaliti ini dilakukan oleh pakar psikiatri atau ahli psikologi klinikal. Mengikut perkiraan Zimmerman, Rothschild dan Chelminski pada tahun 2005, kadar kelaziman kecelaruan personaliti ini dalam masyarakat adalah 1% hingga 5.7%. Akan tetapi, tidak beberapa lama kemudian Pincus dan Lukowitsky pula dalam kertas kerja mereka pada 2009, mengatakan ciri-ciri narsisistik ini sebenarnya lebih berselerak dalam masyarakat dan lebih sukar untuk dilihat.

Perihal narsisisme ini dirumuskan di bawah:

1) Sering mengharapkan kalungan pujian; mahu ‘diangkat’ untuk segenap perkara yang dilakukannya.

2) Sentiasa merasakan dirinya terletak pada kedudukan tinggi, atau lebih dari kebanyakan orang.

3) Setiap apa yang dibuatnya dan difikirkannya adalah betul dan orang lain mesti menurut kemahuannya.

4) Timbul sifat marah jika keperluannya tidak dipenuhi.

5) Tidak boleh atau kurang berkebolehan untuk meletakkan diri pada kedudukan orang lain; difficulty to put oneself in other people’s shoes, empati.

6) Berkecenderungan untuk mengeksploitasi orang lain.

7) Sukar memahami keperluan, kehendak dan situasi orang lain.

8) Mudah memandang rendah terhadap orang lain.

9) Mudah bersifat cemburu dan dengki atas kejayaan orang lain. Narsisisme sering dikelirukan dengan daya keyakinan diri dan rasa kehormatan atau harga diri yang tinggi (high self-confidence and self-esteem). Narsisisme berkaitan rapat dengan sikap materialistik, kecetekan nilai-nilai hidup dan sifat agresif. Teknologi dan arus kemodenan yang tidak dikendalikan dengan murni berpotensi melahirkan lebih ramai insan bersifat narsis patologikal. Kerumitan kemahiran keibubapaan masa kini untuk menangani narsisisme di kalangan anak-anak sedangkan mereka sendiri terdedah dengan risiko narsisisme itu sendiri.

Tulisan Dr. Zul Azlin Razali ini dipetik dari buku Depresi terbitan DuBook.

Lain Yang Menarik

Buku Liar

Kalau DuBook Dah Tak Buat Buku, DuBook Buat Apa?

Nintendo sebelum buat konsol game merupakan pengeluar Hanafuda Card, kad yang digunakan oleh para Yakuza untuk berjudi. Peugeot (cara sebut, puh zhow) ubah Kilang Tepung