HAMPIR 10 tahun yang lalu, Dubook Press menerbitkan kumpulan tulisan saya mengenai isu-isu pendidikan dalam sebuah buku yang bertajuk ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ (SBPUBK).
Hampir satu dekad, sepanjang tempoh tersebut lebih dari 13 kali ianya diulang cetak dengan jumlah keseluruhan mencecah 30,000 naskhah diedarkan di seluruh negara.
Buku ini kemudiannya menghadirkan semangat cakna mengenai isu-isu pendidikan khususnya dikalangan anak muda dan mahasiswa. Puluhan wacana SBPUBK diadakan di seluruh negara, kebanyakannya di kampus-kampus institut pengajian tinggi (IPT) termasuk forum dan siri-siri diskusi.
Ketika menulisnya sekitar 2009 hingga 2012, saya masih lagi seorang guru muda. Saya mula bertugas pada 2009 di sebuah sekolah rendah di tengah kota Kuala Lumpur. Kecamuk pemikiran mengenai silibus yang menekan, kerenah birokrasi dari KPM, JPN, PPD hingga sekolah serta sistem yang tidak memihak kepada guru dan anak murid; semuanya tumpah menjadi tulisan-tulisan anekdot tersebut.
Hari ini, walaupun 10 tahun telah berlalu tetapi tema SBPUBK kekal relevan.
Sebelum pandemik berlaku, World Bank dalam sebuah laporan pada 2019 menyatakan hampir 175,304 anak-anak Sekolah Rendah di Malaysia berada dalam kategori ‘Miskin Pembelajaran’. Terma ‘miskin pembelajaran’ ini digunapakai oleh World Bank untuk merujuk kepada golongan murid yang hadir ke sekolah namun gagal membaca dan memahami perenggan yang mudah pada ketika mereka berumur 10 tahun.
Laporan itu juga menganggarkan 1% kanak-kanak yang berumur dari 7 hingga 12 tahun tidak bersekolah. Ini bermakna sehingga 31,154 anak- anak di Malaysia keciciran dari pendidikan.
Data ini konsisten dengan data daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu seramai 34,074 murid cicir pada 2018 dan seramai 21,316 lagi cicir pada 2019. Bahkan secara kasar daripada jumlah kanak-kanak Orang Asli sekitar 60,800 orang pada 2020, dikhuatiri seramai 35,640 kanak-kanak atau 58.62% tidak menamatkan sesi persekolahan mereka sehingga Tingkatan 5.
Ini semua berlaku sebelum penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Pada tahun 2020 dan 2021, sekolah ditutup selama lebih dari 42 minggu, antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Situasi kemiskinan pembelajaran ini sangat meresahkan kerana World Bank menjangkakan pasca pandemik, untuk setiap 100 kanak-kanak, 63 dikhuatiri miskin pembelajaran. Adakah ini bermakna daripada 4.9 juta murid di sekolah kita, seramai 3.1 juta berada dalam kategori miskin pembelajaran? Bayangkan dalam negara yang mempunyai peruntukan pendidikan tertinggi mengalahkan peruntukan kementerian yang lain sehingga RM 55.2 bilion pada tahun 2023, tetapi sehingga 3 juta anak-anak hadir ke sekolah setiap hari tetapi masih miskin pembelajaran?
Profesor Atan Long di dalam bukunya Fikiran-Fikiran Tentang Pendidikan yang diterbitkan pada 1979 telah membincangkan perihal masalah ‘kelemahan pelajaran bacaan di Sekolah Kebangsaan’ secara akademik. Sebahagian kecil makalahnya adalah berdasarkan kajian tesisnya yang bertajuk ‘An investigation into the teaching of elementary reading in Malay to normal pupils of the chronological age from six to seven years’ yang dipersembahkan kepada Universiti Malaya.
44 tahun kemudiannya, masalah membaca masih menghantui sistem pendidikan di negara ini. Di sekolah, para guru semuanya tahu perihal masalah anak-anak yang tak boleh membaca yang begitu kritikal hingga hari ini. Kesannya, anak-anak ini kemudiannya meneruskan persekolahan hingga ke sekolah menengah tanpa mempunyai kemahiran membaca yang ampuh untuk mereka meneruskan pembelajaran. Betapa ramai para guru yang menyuarakan kegusaran mereka tatkala terpaksa menerima anak-anak yang masih belum lancar membaca di Tingkatan Satu.
Hasilnya, daripada 407,097 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2021, seramai 70,455 calon keciciran sama ada kerana tidak hadir mahupun gagal mendapatkan sijil tersebut. Malah tragedi ini berlaku saban tahun. 62,446 murid keciciran SPM pada tahun 2020 serta 78,643 murid keciciran SPM pada tahun 2019. Sebahagian besar daripada akar masalah ini adalah kerana anak-anak tersebut tidak mempunyai kemahiran membaca, menulis & mengira yang diperlukan untuk mereka menyelesaikan pembelajaran sehingga ke tahap SPM.
Selain daripada masalah keciciran yang kritikal pasca-pandemik, satu lagi masalah pendidikan yang tidak mahu dibicarakan di ruang awam oleh masyarakat adalah isu pendidikan vernakular serta wacana-wacana yang melingkar di sekitarnya. Mahu ataupun tidak, satu perkara yang perlu kita akui pasca pembaharuan politik 2018 serta penjajaran baharu pasca Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 pada 2022 yang lepas, suhu politik negara sangat bergantung kepada pecahan undi antara kaum.
Mungkin inilah masa yang paling tepat untuk kita sama-sama bahaskan perihal letak duduknya isu pendidikan vernakular serta meletakkan sebuah batu asas baharu untuk membolehkan kita menganalisis dan melihat semula secara retrospektif agar sebuah penyelesaian tuntas dapat diperolehi iaitu bagaimana sebuah masyarakat plural yang terbentuk pasca 1957 ini dapat mengimpikan sebuah perpaduan dalam erti kata yang sebenar.
Anuar Ahmad dalam makalahnya yang bertajuk Persekolahan, Proses Perpaduan & Kesejahteraan Masyarakat di Malaysia yang terbit pada tahun 2020 telah mengesyorkan agar kita meneliti semula tiga istilah asas yang selalu digunakan tetapi masih tidak difahami sepenuhnya iaitu istilah perpaduan, kesepaduan serta penyatupaduan. Perbahasan yang menarik ini mempersembahkan bagaimana kumpulan etnik yang berbeza yang memiliki ‘nation of intent’ mereka masing-masing serta bagaimana konflik ‘unity in uniformity’ yang gagal dilaksanakan sejak merdeka boleh digantikan dengan menggunapakai idea ‘unity in diversity’.
Walaubagaimanapun membaca dan memikir-ulang idea ‘unity in diversity’ sepertimana disarankan oleh Dr Anuar ini memerlukan masyarakat kita untuk bersedia daripada sudut mentaliti, ‘political will’ serta pemikiran yang mendalam kerana hanya bangsa yang merdeka boleh meletakkan kepentingan negara melebihi daripada kepentingan sempit parti, elitis politik serta ruang lingkup kecil perkauman.
Antara hasrat awal saya agar buku yang tidak seberapa ini menjadi bukti usaha kecil saya dalam memulakan wacana pendidikan di kalangan anak muda. Dan sebahagian besarnya telah memulakan langkah menggembleng pemikiran mendalam mengenai isu-isu pendidikan sejak ianya mula diterbitkan 10 tahun yang lalu. Hanya ucapan terima kasih yang saya mampu ucapkan kepada semua yang terlibat dalam memulakan wacana tersebut.
Lebih daripada itu hanya satu yang saya harapkan iaitu buku ini menjadi rekod bertulis mengenai ‘semangat zaman’ dan ‘krisis pendidikan’ yang dilalui pada tahun-tahun tersebut.
Misalnya, hanya melalui rekod bertulis pada hari ini kita ketahui bahawa dalam tempoh 100 tahun pemerintahan Brooke di Sarawak, tidak ada satu sekolah kerajaan pun dibina untuk Bumiputera dalam tempoh 27 tahun pertama pemerintahannya. Sekolah kemudiannya dibina oleh badan dakwah Kristian bermazhab Anglikan yang disokong oleh Brooke kerana mahu mengikis fahaman animisme orang Dayak serta untuk menyebarkan agama Kristian agar Bumiputera Sarawak yang bukan Islam dapat ‘ditamadunkan’ seperti yang dihurai oleh Sabihah Osman di dalam bukunya Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak 1841-1941 yang terbit pada 1990.
Melalui rekod ini juga kemudian kita fahami dasar pelajaran Charles Brooke yang menyatakan secara jelas; “Kerajaan berpendapat tidak ada faedahnya tahu membaca & menulis serta menyelesaikan kira-kira, sedangkan anak-anak tidak boleh menulis’.
Yang agak menyedihkan pada hari ini, walaupun pemerintahan Brooke telahpun lama hilang, dasar-dasar pendidikan yang tidak memihak kepada anak-anak masih berjalan sehingga hari ini. Misalnya di Sarawak pada tahun 2023, masih banyak sekolah dikategorikan sebagai ‘sekolah daif’ dan kualiti guru dan pembelajaran masih belum setanding dengan kualiti pembelajaran di Semenanjung. Begitu banyak sekolah di Sarawak yang masih tidak memiliki makmal komputer yang lengkap serta mempunyai talian internet yang sesuai untuk proses pengajaran & pembelajaran yang bermakna sesuai dengan zamannya.
Dengan ini saya akhiri tulisan pengenalan edisi 10 tahun ini dengan ucapan terima kasih buat semua yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak dalam proses penyediaan dan penerbitan buku SBPUBK ini serta para cendekiawan yang menyambutnya sebagai sebuah wacana dalam dekad yang gelora ini termasuk para guru yang tidak dapat saya senaraikan semuanya. Siapa sangka pada hari ini, penjajaran semula politik telah memungkinkan saudara Anwar Ibrahim akhirnya diangkat menjadi Perdana Menteri. Bahkan ada teman yang saya catatkan sebagai sebuah artikel akibat perjuangannya di dalam SBPUBK juga telah dilantik menjadi Timbalan Menteri.
Dekad-dekad gelora ini memerlukan kita semua mencari ciri-ciri untuk menjadi ‘manusia unggul’ melawan ‘manusia lambak’, seperti dikiaskan Jose Ortega y Gasset di dalam The Revolt of The Masses;
“To be surprised, to wonder, is to begin to understand. This is the sport, the luxury, special to the intellectual man. The gesture characteristic of his tribe consists in looking at the world with eyes wide open in wonder. Everything in the world is strange and marvelous to well-open eyes.”
Dalam konteks SBPUBK, hanya sistem pendidikan yang meletakkan kepentingan anak-anak dan para guru mampu menyediakan ekosistem yang boleh memacu pertumbuhan pembinaan ‘manusia unggul’ dalam masyarakat.
Ekosistem ini bahkan sangat bergantung kepada ‘semangat zaman’. Misalnya tatkala berkembangnya teknologi Ai & ChatGPT hari ini, mampukah sekolah mengekalkan peranannya untuk mencetak manusia mengisi perusahaan-perusahaan atau sebenarnya seperti yang telah lama Ivan Illich nyatakan pada tahun 1970 dahulu;
“School has become the world religion of a modernized proletariat, and makes futile promises of salvation to the poor of the technological age.”
Tulisan ini diambil daripada Prakata buku Sekolah Bukan Penjara Universiti Bukan Kilang terbitan semula DuBook tahun 2023.